6.9.08

Panorama Yang Mengagumkan



Masjid Putrajaya

29.8.06

Warna Digemari Wanita dan Firasat

UNGU Seorang murah hati.Merdeka hatinya & tidak mahu diperintah. Penuh inisiatif. Pandai tetapi tidak emosi. Dingin dan kehendaknya meluap-luap. Jarang berjaya. HITAM Seorang yang suka bermurung.Prihatin.Kuat menghadapi petaka apa sahaja. Tidak mudah terpengaruh. Setia pada suami.Hatinya baik dan cepat tersinggung. BIRU MUDA Seorang yang suka merendahkan diri. Suka mengalah.Suka berkorban peranan. Cerdas. Pandai dan berotak berlian. KELABU Seorang yang suka sekali mengelamun. Romantis Sabar.Tenang tetapi hatinya suka mengembara.Suka mengada-ngada dan gossip. MERAH Seorang yang berwatak berani. Emosional dan tegas. Tamak serta serakah. Tahan melarat dan suka hidup bersenang-senang. BIRU Seorang yang setia paa suami. Senang pegang wang. Kuat kemahuan.Berterus terang dan jujur. Cepat memberi maaf dan tegas. KUNING Seorang yang amat menyukai ilmu. Gemar membaca.Tekun dan cerdas. Tabah menghadapi cabaran. PUTIH Seorang yang mempunyai perangai yang suci bersih. Fikirannya tidak banyak prasangka. Berkata benar, jujur dan rendah hati. Ramah dan bersopan-santun. Kuat menerima ilmu. Damai dan berubah alam fikirannya. Suka menolong dan hidup dalam bertawakal. COKLAT Seorang yang mempunyai sifat keibuan. Suka merendah diri.Sopan dan halus budi. Hatinya sentiasa was-was kerana takut salah. HIJAU Seorang yang subur dan damai. Cintakan kebahagian.Tidak suka perang. Patuh pada agama.Teguh pendirian hingga kelihatan agak kolot. "

Kewajipan Kepada Ibu Bapa

Ibu bapa merupakan orang yang wajib kita hormati dan taati. Perintah mentaati keduanya jelas termaktub di dalam Quran dan Hadith. Mengecilkan hati, melawan atau mengherdik keduanya dianggap sebagai derhaka. Menderhaka kepada ibubapa adalah satu dosa besar dan tidak akan mencium bau syurga; meskipun banyak beribadat kepada Allah. Allah tidak menerima ibadat orang yang derhaka kepada ibubapa. Dalam satu hadith, Nabi Muhammad saw bersabda bahawa keredhaan Allah bergantung kepada keredhaan kedua ibubapa. Ini bermakna jika ibubapa suka kepada kita, Allah turut meredhai kita. Sebaliknya jika mereka marah dan berkecil hati kepada kita, Allah turut murka kepada kita. Pernah seorang sahabat mengadu kepada Rasulullah tentang perangai ibunya yang suka meminta-minta kepadanya. Baginda marah dan menempelak sahabat itu dengan mengatakan bahawa bukan saja dalam harta malahan dalam dirinya sendiri ada hak kedua ibubapanya. Jelas ibubapa mempunyai hak terhadap apa saja yang ada pada kita. Sejak kita di dalam kandungan, ibu menanggung segala kesakitan dengan penuh sabar. Begitu juga setelah dilahirkan, ibu mengasuh dan menjaga kita dengan penuh kasih sayang. Jika kita sakit, ibu tidak lelap tidur. Mereka berkorban apa saja untuk kita. Tetapi setelah kita besar dan boleh berdikari, sanggupkah kita mengecewakan hatinya. Oleh kerana besarnya pengorbanan ibubapa terhadap kita, maka sewajarnyalah Allah mewajibkan kita mematuhi mereka. Ganjaran di atas layanan kita terhadap ibu bapa dibalas oleh Allah tunai semasa di dunia lagi. Contohnya, jika kita mentaati mereka, anak-anak kita akan taat kepada kita. Sebaliknya jika kita menderhaka kepada mereka, anak-anak kita akan derhaka kepada kita pula. Nabi Muhammad saw pernah bersabda: "Barangsiapa semasa paginya mendapat keredhaan ibu bapa, nescaya dibukakan baginya semua pintu syurga. Sebaliknya jika semasa pagi lagi telah menyakiti hati ibubapa, nescaya akan dimasukkan ke dalam neraka." Kita sebenarnya tidak berdaya membalas jasa ibu dan bapa. Hakikat ini perlulah kita insafi. Jika mereka tidak wujud di dunia, kita juga tidak akan lahir di dunia ini. Oleh sebab itu, kita digalakkan mendoakan mereka setiap kali selepas solat. Jika mereka masih hidup, layanilah mereka dengan sebaik-baik mungkin. Tetapi jika sudah meninggal dunia, selalulah menziarahi tanah perkuburan di samping mendoakan kesejahteraannya. Buatlah sebarang kebajikan seperti sedekah dan niatkan pahala untuk arwah ibu dan bapa. Mereka akan menerima pahala tersebut. Inilah sahaja bukti ketaatan yang dapat kita tunjukkan terhadapnya. Akhirnya, ingatlah pesanan Nabi saw: "Khabarkanlah berita gembira ini kepada mereka yang berbuat baik kepada ibubapa: Buatlah apa saja bahawasanya Allah Taala telah mengampuni mereka. Dan khabarkan berita buruk kepada mereka yang menderhakai ibubapa, buatlah seberapa banyak ibadat yang disukai, bahawasanya Allah Taala tidak akan memberikan keampunan sedikitpun kepadanya." "Ingatlah anak yang berbuat baik kepada ibubapa tidak akan masuk neraka. Dan anak yang derhaka kepada mereka tidak akan masuk syurga."

4.8.06

Tumbuhan Berguna 1

Negara kita sememangnya kaya dengan tumbuh-tumbuhan yang mempunyai khasiat tersendiri . Masyarakat zaman dahulu sangat bergantung dan percaya kepada jenis tumbuhan tertentu yang diakui memberi manfaat kepada pengguna. Ini menyebabkan, masyarakat dahulu amat menghargai tumbuh-tumbuhan tersebut. Cara mereka menghargai tumbuhan tersebut ialah dengan menggunakan tumbuhan tersebut sebagai bahan ubatan. Kepercayaan ini masih dipegang kuat kerana kemujarabannya dalam menyembuhkan pelbagai jenis penyakit.Tumbuh-tumbuhan diperolehi daripada hutan dan ada juga yang ditanam sendiri. Pengaruh masa mungkin menjadi penyebab kepada meluasnya penggunaan pelbagai tumbuhan ini dalam bidang perubatan. Ini kerana pada masa dahulu, belum wujud lagi institusi perubatan . Oleh sebab itu, masyarakat peribumi menggunakan sumber alam di sekeliling mereka untuk mengubati penyakit yang menyerang di kalangan mereka. Bomoh, dukun dan pawang merupakan sumber rujukan utama mereka dalam bidang perubatan. Golongan ini dipandang tinggi kerana berkeupayaan untuk menyembuhkan pesakit yang datang meminta rawatan.Apatah lagi, ubat-ubatan yang digunakan ialah daripada sumber semulajadi. Ini menyebabkan, masyarakat dahulu sangat percaya kepada keupayaan tumbuh-tumbuhan ini untuk menyelesaikan masalah kesihatan di kalangan mereka. Tumbuh-tumbuhan yang berkenaan adalah seperti kunyit, halia, jering dan banyak lagi. Mungkin perkembangan saintifik dalam bidang perubatan pada zaman tersebut belum meluas tetapi mereka dapat menghasilkan cara rawatan yang berguna kepada masyarakat setempat. Keadaan ini bukan hanya berlaku di negara kita tetapi juga di seluruh dunia. Masing-masing mempunyai tumbuhan tertentu sebagai sumber ubatan.Dalam hal ini, sudah terbukti bahawa sememangnya tumbuhan banyak memberikan manfaat kepada manusia sejagat. Malahan, penggunaan tumbuhan ini dalam rawatan pada masa kini masih digunakan. Walaupun ia mendapat saingan daripada ubatan sintetik namun ianya masih lagi mendapat kepercayaan daripada orang ramai. Mungkin disebabkan oleh kesan sampingan yang wujud dalam ubatan sintetik. Kesan sampingan ini ada kalanya menimbulkan penyakit yang memudaratkan pengguna. Keadaan ini menyebabkan pengguna berasa ragu-ragu untuk menggunakan ubatan moden. Namun, apa yang penting ialah keupayaan kedua-dua sumber rawatan untuk menangani penyakit yang mengganggu kehidupan masyarakat dunia. SAYUR-SAYURAN MENTAH Sayur-sayuran mentah atau ulam adalah antara menu makanan yang masih diamalkan dalam masyarakat melayu. Pelbagai jenis ulam seperti cekur, petai, jering, pucuk paku merah, kacang botol, daun pegaga dan ulam raja amat mudah diperolehi. Kebanyakan ulam ini ditanam terutama sekali penduduk kampung. Tidak kurang juga yang diperolehi daripada kawasan hutan yang mana ada di antara jenis ulam ini tumbuh meliar. Ulam mempunyai banyak khasiat yang sepatutnya diberi perhatian oleh orang ramai. Malah, kerajaan sendiri menggalakkan rakyat supaya mengamalkan memakan ulam. Tidak hairanlah, Kementerian Pertanian melancarkan kempen makan ulam beberapa lama dulu.Ulam-ulaman tempatan mengandungi khasiat yang tersendiri. Ulam daripada jenis berdaun mempunyai paling banyak vitamin A, B1, B2, C dan zat galian seperti zat besi dan zat kalsium. Ulam dari jenis biji-bijian seperti kacang botol, ia mempunyai kandungan protein yang tinggi. Pucuk paku merah atau pucuk niding dipercayai dapat menambahkan darah. Rasa pahit pada petai dan jering dapat mengubati penyakit kencing manis. Amalan memakan kulit petai dan isinya sekali gus adalah baik kepada penyakit kencing manis. Pegaga pula dipercayai berkhasiat untuk awet muda. Oleh sebab itu, dalam petua kecantikan, pegaga digalakkan sebagai makanan tambahan. Manakala, kunyit atau dikenali sebagai Curcuma domestica mengandungi antiseptik yang dapat digunakan untuk membasmi bakteria.Memakan sayur kubis sekurang-kurangnya seminggu sekali boleh mengelakkan seseorang daripada diserang barah sebanyak 66 peratus. Ini adalah kenyataan yang dikeluarkan oleh pakar perubatan dari Jepun, yang telah menjalankan kajian dan mendapati kubis mengandungi ejen antikanser yang lebih daripada sayur-sayur lain. Di samping itu, kubis juga boleh membantu mencegah ulser perut, menambah sistem imunisasi dan turut mengandungi antibakteria. Kubis ini boleh dimakan dalam bentuk mentah, dimasak atau dibuat ulam khusus untuk kesihatan diri. HALIA Sebagai salah satu ubatan heba penting dalam perubatan cina dan tradisional melayu, halia amat dikenali sebagai penawar bagi masalah penghadaman. Halia berupaya meredakan sakit perut, melegakan perut akibat makanan tidak hadam malahan segala penyakit berkaitan dengan perut seperti angin dan kejang. Berdasarkan daripada satu kajian terbaru, halia didapati berkesan uantuk mencegah rasa loya dan menghindarkan sakit-sakit sewaktu dalam perjalanan jauh..Seperti yang dilaporkan dalam European Journal of Obsttetrics and Gynaecology hasil daripada penyelidikan terbaru menunjukkan halia boleh mengurangkan muntah-muntah waktu pagi. Manakala ahli penyelidik dari sebuah hospital di London mendapati, halia boleh mengelakkan tekak loya dan kesakitan selepas rawatan penyakit kanser. Halia membantu menghangatkan dan merehatkan otot-otot dalam badan. Ia berguna khususnya bagi mereka yang selalu menghidapi bengkak-bengkak, sejuk kaki dan tangan. Ia membuka sempadan saluran darah, membolehkan darah bergerak lebih bebas dan merendahkan kolestrol dalam darah.Selain daripada itu, halia dipercayai dapat membuang angin yang terdapat dalam usus besar dan usus kecil. Halia juga mempunyai khasiat untuk menghilangkan bau mulut yang kurang enak, melembutkan perut, membantu menghadamkan makanan dan membuang kahak dan lendir. Ia selamat, murah dan boleh digunakan dengan cara segar, kering atau didapati dalam bentuk kapsul di farmasi dan kedai ubat. BAWANG PUTIH Daya penyembuhan yang terkandung dalam bawang putih adalah suatu legenda. Sejak berkurun lamanya, ia telah digunakan oleh rakyat Mesir kuno, Bani Israel, tidak ketinggalan masyarakat di negara China. Di samping itu, keistimewaannya turut diakui oleh Charlemenge dan bapa kedoktoran, Hippocrates. Setelah begitu lama dibiarkan terpendam, keupayaan dan khasiat bawang putih kini cuba dibongkar oleh sains moden. Dalam jangka masa 20 tahun yang lalu, lebih kurang 1 300 kajian mengenai bawang putih telah dijalankan. Bawang putih atau dikenali juga dengan nama Allium sativum, berada di bawah famili allium sama dengan bawang besar, bawang merah, daun bawang dan kucai. Bawang putih juga dikenali sebagai stinking rose. Tetapi hakikatnya, ia boleh digunakan untuk merawat pelbagai jenis penyakit. Bermula dengan kanser dan penyakit jantung sehinggalah penyakit ulat air dan demam.Banyak kajian menunjukkan bawang putih boleh menurunkan paras kolestrol dalam darah. Ada dua pandangan yang menyatakannya berdasarkan kepada kajian yang dijalankan. Yang pertama, bawang putih boleh merendahkan paras kolestrol dalam darah antara 9 hingga 12 peratus bagi mereka yang mempunyai paras kolestrol yang tinggi. Manakala kajian terbaru pula mendapati bawang putih tidak meninggalkan kesan kepada mereka yang mempunyai paras kolestrol yang rendah dan sederhana. Penyelidikan dilakukan dengan menggunakan serbuk bawang putih yang menyamai penggunaan satu labu bawang putih sehari. Manakala satu lagi kajian menggunakan minyak bawang putih yang bersamaan dengan dua labu bawang putih mentah sehari.Pendapat kedua bagaimanapun, dibidas oleh Robert Nagourney, seorang doktor perubatan yang menyatakan bawang putih diproses berkemungkinan mempunyai bahan menurunkan kandungan kolestrol dalam darah. Bagaimanapun, fakta di mana bawang putih menghalang pengumpulan platlet dan pembekuan darah, yang mana ia mampu mengurangkan risiko berlakunya serangan jantung dan strok adalah benar.Terdapat sebuah pusat penyelidikan yang menjalankan kajian mencadangkan bahawa bawang putih dan semua yang terletak di bawah famili allium berkesan menghalang perkembangan kanser. Kajian di makmal berjaya membuktikan ia berupaya menghambat pertumbuhan sel malignan dan bahan berkarsinogen. Selain itu, bawang putih juga mengandungi bahan antioksidan yang sangat berkuasa. Penyelidikan terkini yang dijalankan mendapati kandungan fitokimia dalam bawang putih boleh menyekat pembentukan karsinogen yang kuat iaitu nitroamina dan menghalang pertumbuhan sel kanser.Bawang putih sebenarnya telah pun mempunyai sejarah yang cukup panjang digunakan sebagai bahan yang menghalang jangkitan kuman semasa peperangan. Malah ia juga khabarnya turut dikaji oleh Louis Pasteur dan Albert Schweitzer untuk merawat kes cirit-birit. Menurut Benjamin Lou, doktor perubatan di Universiti Linda Loma, bawang putih boleh menghalang pertumbuhan bakteria, fungi, virus dan parasit lebih berkesan daripada sesetengah antibiotik moden. Kajian di sebuah makmal di Hospital Boston City mendapati allicin berkesan menentang salmonell, streptococcus dan mikrob lain yang menyebabkan selesma dan pneumonia. TOMATO Tomato adalah buah yang kaya dengan lycopene dan baik untuk kesihatan. Lycopene adalah bahan kimia yang terdapat dalam tumbuhan (fitokimia) yang memberikan warna merah kepada tomato. Kandungan nutrien yang tinggi antaranya vitamin C, B-kompleks, mineral seperti zat besi dan potasium dan karotenoid yang terdiri dari lycopene dan beta karotena adalah ciri-ciri istimewa tomata. Lycopene adalah bahan antioksidan yang kuat di mana ia bertindak meneutralkan radikal bebas yang terhasil dalam tubuh badan. Kehadiran radikal bebas di samping tindak balas aktiviti metabolisme sel adalah berbahaya kerana ia menjadi punca kanser dan penyakit kardiovaskular. TUMBUH-TUMBUHAN SEBAGAI AFRODISIAK Dalam rawatan tradisional, masyarakat cina mempercayai dan mengamalkan penggunaan ginseng yang mana mampu mengatasi masalah ini. Ginseng merupakan rawatan herba cina yang paling berkesan. Namun terdapat beberapa ginseng yang dijual di kedai ubat yang mungkin mengelirukan pengguna. Oleh yang demikian, semasa memilih ginseng di kedai ubat cina, pastikan anda mendapat jenis China Wild Ginseng. Harga ginseng bergantung kepada saiznya. Bagi ginseng yang bersaiz kecil, ia berharga antara RM 300-RM 500 sebatang, manakala ginseng yang bersaiz besar biasanya berharga beberapa ribu ke atas. Fungsi ginseng bukan sahaja dapat menguatkan tubuh badan dan tenaga batin seseorang, tetapi ia dapat merangsang perubahan hormon dan melancarkan pengaliran darah. Perkara yang paling penting dalam menangani fenomena mati pucuk ialah memastikan organ-organ badan berada dalam keadaan yang sihat terutamanya ginjal. Ginjal yang menjadi punca kepada mati pucuk dan melalui China Wild Ginseng, organ tubuh badan terutamanya ginjal dapat dikuatkan. Ginseng perlu direbus selama tiga hingga empat jam sebelum ia dapat diminum. Biasanya, seseorang mengambil lebih kurang antara enam hingga tujuh batang ginseng. Tetapi, keberkesanannya bergantung kepada setakat mana tindak balas badan seseorang terhadap ginseng. Ginseng bukanlah sejenis ubat yang hanya perlu digunakan dalam satu atau dua kali. Sebaliknya, herba ini perlu diambil dari semasa ke semasa agar semua organ badan sentiasa berada dalam keadaan yang sihat dan kuat Terdapat sesetengah orang yang mengambil selama setengah tahun, satu tahun ataupun yang serius terpaksa mengambil selama tiga tahun untuk pulih daripada mati pucuk.Herba Ba Ji dan Huo Yin Yang juga antara herba-herba yang dapat memulihkan sifat kelelakian. Herba-herba ini dicampur dengan Cordycens, Du Zhong dan direbus selama empat jam untuk mendapatkan sup yang penuh khasiat. Terdapat juga pil-pil yang dihasilkan dari campuran pelbagai herba cina yang telah diproses semula. Salah satu jenis ialah Jian Li Yao Zi Bian Wan yang dapat merangsang peredaran darah dan mengembalikan kecergasan tenaga. Kuasa ubat ini terus sampai ke buah pinggang dengan cepatnya. Pil ini juga dapat mengatasi masalah keletihan dan kelemahan tubuh. Bahan-bahan campuran pil ini terdiri daripada pelbagai jenis herba seperti phyryno, soma, cornota, gicro, rhdix morindae, herba cstanches, herba cynomori, herba epidemi dan herba-herba lain.Masyarakat melayu juga cukup terkenal dengan penggunaan sumber alam seperti tumbuh-tumbuhan dan haiwan untuk merawat penyakit termasuk memulihkan tenaga batin lelaki dan perempuan. Di kawasan tropika, terdapat 150 000 spesies tumbuhan berbunga yang dipercayai mempunyai khasiat tersendiri dalam bidang perubatan tradisional. Berdasarkan kajian yang dilakukan, terdapat 6 000 spesies tumbuhan di kawasan tropika digunakan untuk tujuan perubatan sejak turun temurun. Daripada jumlah itu, 1 230 terdapat di Malaysia, bagaimanapun, 343 spesies telah diberitakan pupus. Jika kaedah perubatan moden boleh berbangga dengan Viagra dan pelbagai kaedah yang digunakan untuk merawat mati pucuk, maka perubatan tradisional juga mempunyai cara-cara tersendiri untuk mengubati lelaki yang mengalami masalah tenaga batin.Malah perubatan tradisional dari akar kayu dan sumber alam ini masih mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat di negara ini. Masyarakat Melayu dahulu cukup terkenal dengan penggunaan ramuan-ramuan yang berasaskan sumber alam untuk tujuan perubatan pemulihan tenaga batin ataupun untuk mengekalkan keupayaan lelaki dan perempuan dalam hubungan kelamin. Antara ramuan yang digunakan untuk memulih dan menguatkan tenaga batin: Campuran halia, telur ayam kampung, limau nipis, kicap, madu lebah asli dan lada sulah. Ramuan Hempedu Harimau dan madu asli. Halia (diminum airnya) Pokok Rumput Jarum Mas/Rumput Rempah Padang. Rebusan Tongkat ali, ubi kemili dan ubi jagar Campuran susu, telur, madu dan halia. Ramuan sejenis tumbuhan herba, Tribulus terrestris L. Rebusan akar-akar kayu seperti tongkat ali, janggut ali, payung ali, cempaka, gucil, ubi jaga dan kunyit hitam. Selain itu, kunyit putih, butang baju, kacip fatimah, petawali, akar puteh, haji samad, akar resdung dan ubi kesul. Ramuan zakar buaya, buah pelir dan daging kambing, dan pasak bumi (Eurycoma longifolia). Makanan laut terutamanya udang merah dan tiram kerana kandungan fosforus, iodin dan zink yang tinggi. KESIMPULANJadi, kita tidak dapat menolak atau menafikan kegunaan tumbuh-tumbuhan dalam kehidupan seharian kita. Ini merupakan warisan daripada nenek moyang sejak dari dulu lagi. Ada di antara tumbuhan yang digunakan pada masa dahulu masih kekal digunakan hingga ke hari ini. Dengan mengamalkan apa yang dilakukan oleh orang terdahulu, kita sudah pastinya akan merasai betapa tumbuh-tumbuhan ini patut dipelihara agar dapat menjadi sumber rujukan generasi baru.Sebenarnya, hasil perubatan dari tumbuh-tumbuhan amat bermakna dan memberikan sumbangan yang tidak terperi kepada dunia perubatan. Malah, daripada tumbuhan inilah menjadi sumber inspirasi kepada pakar perubatan pada masa sekarang untuk menghasilkan ubat moden yang sama berkesan seperti perubatan tradisional. Perubatan menggunakan tumbuhan amat penting sebagai alternatif kepada mereka yang lebih selesa dan percaya kepada cara perubatan ini. Apatah lagi, masih terdapat masyarakat primitif yang berpegang teguh kepada sumber ubatan daripada tumbuhan.Namun begitu, pengamalan menggunakan tumbuh-tumbuhan dalam diet pemakanan seharian tanpa menghiraukan protein daripada haiwan mempunyai kesan sampingan. Ini boleh menyebabkan sistem pertahanan badan tidak berupaya menghalang penyakit. Kenyataan ini dikeluarkan oleh American Academy of Cosmetics Surgeon. Ini adalah disebabkan, sayur-sayuran mengurangkan nutrien yang diperlukan untuk menghasilkan asid amino hidroksiprolina, bahan terpenting untuk menyembuhkan luka. Kehilangan nutrien juga disebabkan oleh glukosa dalam karbohidrat, albumin dalam protein, asid lemak, sesetengah jenis vitamin dan mineral seperti zink, mangan dan besi. Jadi, amat penting sekali mengamalkan pemakanan yang seimbang agar dapat menjaga dan meningkatkan tahap kesihatan diri.

14.7.06

Isu Sekolah Selamat

KEPUTUSAN Kementerian Pendidikan melancarkan Program Sekolah Selamat pada 2002 sebenarnya bertunjangkan satu matlamat jitu – mewujudkan budaya selamat di sekolah dan persekitaran secara berterusan dengan sokongan keluarga dan komuniti setempat. Objektif umumnya ialah untuk meningkatkan kefahaman dan penghayatan bahawa keselamatan hendaklah dijadikan agenda utama dalam semua aspek pendidikan di sekolah. Jelas inisiatif baru itu bukan sekadar program ‘tangkap muat’ semata-mata. Bahagian Sekolah menyediakan buku ‘Konsep dan Manual Sekolah Selamat’ sebagai panduan pelaksanaan menjadikan sekolah, komuniti dan keluarga selamat untuk kanak-kanak. Buku itu turut memuatkan aspek manual untuk pelajar menangani isu keselamatan dalam bidang aktiviti pelajar, bencana alam, fizikal dan bangunan sekolah, sosial, serta persekitaran dan lokasi sekolah. Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan (Jabatan Sekolah), Datuk Kusaini Hasbullah, dalam satu pertemuan baru-baru ini, menjelaskan sebenarnya konsep sekolah selamat sudah pun ada dalam sistem pendidikan formal selama ini. “Memanglah menjadi hasrat guru, ibu bapa dan pelajar supaya semua yang dilakukan tercapai dalam keadaan selamat. Sekiranya berjaya pun, berjaya dengan selamat. Itu adalah hasrat serta cita-cita kementerian juga. “Jadi konsep sekolah selamat ini daripada begitu umum, dibina dan dikembangkan menjadi satu konsep khusus yang dilaksanakan di sekolah seluruh negara. Malah, didapati kira-kira 84 peratus daripada keseluruhan 10,000 sekolah rendah dan menengah kini menjalankan konsep ini secara aktif,” katanya. Bagaimanapun, selepas lebih setahun pelaksanaan program itu, masyarakat masih digemparkan dengan insiden memalukan dan berlawanan arus dengan usaha bersungguh-sungguh banyak pihak untuk menjadikan negara pusat kecemerlangan pendidikan. Beberapa kejadian ‘membelasah’ yang tercetus antara pelajar, khususnya di sekolah menengah berasrama, hingga mengakibatkan kecederaan serius ternyata bukan lagi boleh dipandang ringan sebagai sekadar ‘kenakalan budak hingusan’. Kecederaan menimpa Mohd Hafizi Jumhari, 16, pelajar kursus Kejuruteraan Mekanikal di Sekolah Menengah Teknik Batu Pahat, Ogos lalu, yang dilaporkan sehingga terpaksa dibuang buah pinggang kirinya selepas dipercayai dibelasah sekumpulan pelajar senior di asrama, boleh dijadikan pembuka mata terhadap ancaman luar jangkaan di sekolah. Adakah dengan kes gejala disiplin sedemikian secara tidak langsung menunjukkan kegagalan Program Sekolah Selamat yang masih baru digerakkan? “Saya tidak fikir begitu sebab kita harus ingat kepada realiti masyarakat bahawa negara kita sedang menuju kemajuan serta pembangunan dan manusianya juga menjurus ke arah itu. “Jadi dalam proses kemajuan dan pembangunan ini, tentulah sekali kita akan menghadapi keadaan di mana ada sebilangan masyarakat yang terseleweng, luar fokus mahupun tidak memahami. “Kita menghadapi gejala yang berlaku di sekolah tetapi ia bukan berpunca atau berkembang dari sekolah. Kita selalu kata sekolah dipersalahkan kerana timbulnya masalah. Namun sebenarnya daripada pemerhatian saya, sekolah hanyalah tempat perkara itu berlaku. “Elemen dan proses pendidikan di kalangan anak kita bukan hanya di sekolah tetapi di merata tempat. Bahkan ada orang bijak pandai mengatakan bahawa pembelajaran secara formal hanya mencakupi lebih kurang 20 peratus hidupnya, sementara 80 peratus lagi dia belajar daripada cara tidak formal seperti di rumah, di kedai dan banyak lagi. “Bagaimanapun apabila berlaku masalah seperti dalam masyarakat hari ini, sekolah selalu disalahkan. Namun, kita tetap tidak boleh berhenti tanpa melakukan sebarang usaha untuk menangani dan mengatasinya. Antara usaha dijalankan ialah pelaksanaan konsep sekolah selamat ini,” tegas Kusaini. Memang tidak dinafikan, pihak sekolah sering dilempar pelbagai tuduhan dan dipersalahkan apabila berlaku insiden negatif membabitkan salah laku pelajar. Antara dakwaan yang kerap dilontarkan ialah kelemahan pihak pengurusan, guru disiplin dan warden asrama di sekolah. Suatu fenomena yang perlu dipandang serius dalam menangani kemelut disiplin pelajar kini ialah dalam keadaan tertentu, pihak sekolah, khususnya guru, berada dalam keadaan ibarat ’ditelan mati emak, diluah mati bapa’. Ini kerana apabila guru bersikap lepas tangan terhadap salah laku pelajar, kewibawaan dan komitmen mereka sebagai pendidik pasti dipertikaikan. Begitupun dari satu sudut lagi, guru yang menjalankan hukuman disiplin pula terdedah kepada risiko ‘diserang balik’ ataupun diambil tindakan mahkamah oleh ibu bapa selain perbuatan balas dendam daripada pelajar sendiri. Di sini, penekanan Kusaini bahawa keberkesanan dan kejayaan pelaksanaan Program Sekolah Selamat memerlukan pembabitan serta kerjasama tiga pihak utama, iaitu warga sekolah, ibu bapa dan komuniti, wajar dijadikan pegangan. “Ketiga-tiga pihak ini harus bekerjasama dan juga memainkan peranan masing-masing dalam membina persekitaran yang selamat di sekolah. Apabila dikatakan selamat, bukan bermakna selamat dari segi prasarana atau fizikal saja, tetapi juga selamat dari segi lain seperti perhubungan dan kasih sayang. “Keselamatan boleh dibina dengan keadaan kasih sayang, mesra dan kerjasama sesama warga. Dengan adanya semangat sebegitu, perhubungan menjadi lebih selamat serta mengurangkan permusuhan, perkauman dan juga prasangka.“Untuk selamat, bukan bermakna sesebuah sekolah itu mesti dipagar dengan pagar yang cantik semata-mata. Itu pun mustahak juga tetapi idea utamanya ialah supaya setiap warga di sekolah berasa aman, tenteram, selesa dan sentiasa mahu ke sekolah. Inilah persekitaran, budaya dan iklim di sekolah yang mahu ditonjolkan oleh Kementerian Pendidikan,” katanya. Justeru, walaupun belum tercapai sepenuhnya sasaran pelaksanaan Program Sekolah Selamat, usaha kementerian itu sudah pun mula menampakkan hasil positif apabila pemerhatian serta pemantauan dilakukan oleh Bahagian Sekolah mendapati kebanyakan sekolah berjaya mempertingkatkan kesedaran warga mereka mengenai kepentingan keselamatan. Bukan itu saja, penubuhan Jawatankuasa Perundingan Disiplin Pelajar yang dipengerusikan oleh Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Abdul Rafie Mahat, adalah langkah amat dialu-alukan untuk menyuntik strategi baru ke arah mengurangkan sedapat mungkin pergolakan serta kemelut disiplin di kalangan pelajar. Pastinya, hasil positif sangat diharapkan daripada jawatankuasa itu yang menggemblengkan kebernasan fikiran daripada pelbagai pihak yang arif dalam bidang tersendiri, termasuk golongan profesional dan wakil ibu bapa. Ekoran itu, baru-baru ini, jawatankuasa berkenaan melahirkan lima perakuan dan tujuh inisiatif baru yang sudah mendapat perkenan Menteri Pendidikan dan pelaksanaannya akan bermula tahun depan, di samping terus memberi penekanan kepada 20 inisiatif sedia ada. Menurut Kusaini, antara inisiatif baru berkenaan ialah melaksanakan piawaian kualiti asrama serta mengadakan sistem pengurusan asrama secara sistem rumah. “Berdasarkan sistem rumah ini, suatu asrama itu akan dikongsi duduki bersama oleh pelajar dari pelbagai tahun atau tingkatan persekolahan, contohnya dikongsi bersama oleh pelajar tingkatan satu, dua dan tiga, yakni tidak dikhususkan mengikut peringkat umur sebagaimana sekarang. “Langkah ini bertujuan untuk membentuk persefahaman sesama mereka sekali gus mewujudkan suasana perhubungan lebih baik kerana berdasarkan pengalaman kementerian, apabila pelajar dikumpulkan dalam satu peringkat umur saja di asrama, ada kecenderungan untuk ada ‘geng’ sendiri,” katanya. Seterusnya, inisiatif baru berkenaan juga memberi peluang kepada pelajar untuk menyuarakan pendapat dan pandangan melalui pelbagai saluran seperti badan pengawas mahupun badan perwakilan pelajar di sekolah. “Antara langkah yang sekolah boleh ambil ialah mengadakan dialog dengan pelajar supaya suara mereka didengar dan diteliti oleh pihak pengurusan. Ini bukan membabitkan aduan masalah saja tetapi juga cadangan ke arah penambahbaikan. “Berdasarkan pengalaman kita selama ini, pelajar memang berupaya memberikan cadangan baik kepada sekolah kerana merekalah yang menghadapi keadaan sebenar. Peluang pelajar berdialog dengan pihak sekolah adalah antara strategi kaunseling dalam perihal disiplin. “Bagaimanapun, pada masa sama, sekolah diminta bersikap tegas terhadap pelajar dan jangan bertolak ansur dalam perkara yang mungkar. Pihak sekolah tidak boleh mendiamkan perkara sedemikian, maknanya jika perlu dikenakan hukuman, hukum. “Dalam konteks ini, bermakna mesti ada keseimbangan antara langkah kaunseling dan tindakan disiplin di mana yang menjadi ukuran kepada kedua-dua imbangan ini ialah kemanusiaan kerana pelajar sedang membesar serta membangun.“Ada persekitaran yang perlu diambil tindakan disiplin dan ada juga yang tidak perlu. Umpamanya, pelajar perempuan tidak memerlukan tindakan disiplin seperti merotan kerana dengan sifat mereka yang sensitif serta pemalu, teguran sudah pun mencukupi. Namun ada juga keadaan di mana pelajar perempuan tidak makan ditegur dan perlu diberi ‘kejutan’. Bagaimanapun, semua ini bergantung kepada persekitaran dan keadaan,” katanya. Satu lagi inisiatif baru yang cukup menarik ialah sekolah akan diberikan peruntukan mencukupi bagi pengurusan hal ehwal pelajar bertujuan mewujudkan kemesraan dan menjalin serta mengeratkan lagi perhubungan dengan pihak ibu bapa dan juga masyarakat. Strategi baru ini boleh dikatakan unik kerana melalui peruntukan yang diterima, pihak sekolah akan ‘keluar dari sarang’ untuk memperkukuhkan perhubungan dengan ibu bapa dan masyarakat seperti dengan mengadakan program lawatan ke rumah pelajar berbanding selama ini hanya ibu bapa yang dipanggil dan diminta ke sekolah. Tidak dinafikan bahawa selama ini, ada sekolah yang ingin mengadakan program ‘mesra rakyat’ seperti itu tetapi menghadapi masalah kekangan kewangan berikutan tiada peruntukan khusus untuk pelaksanaan berkenaan. Justeru, dengan adanya peruntukan baru itu, pihak sekolah boleh mengaturkan program lawatan ke rumah pelajar untuk pelbagai tujuan seperti kebajikan, menziarahi mereka yang sakit dan sempena sambutan perayaan. Inisiatif seterusnya ialah penubuhan Biro Pelawat Sekolah yang akan dianggotai oleh pelbagai pihak, termasuk wakil persatuan ibu bapa dan guru (PIBG), bekas pelajar dan agensi kerajaan setempat, untuk melawat pelajar secara berkala di sekolah sekali gus membentuk suasana perhubungan dan persefahaman yang jitu. Penubuhan Jawatankuasa Menangani Isu Budaya Negatif Di Kalangan Pelajar Asrama yang dipengerusikan oleh Abdul Rafie dan pelaksanaan laporan adab pelajar turut disenaraikan sebagai antara tujuh inisiatif baru berkenaan.“Inisiatif ini bertujuan memperbaiki keadaan sekali gus mempertingkatkan disiplin pelajar. Pelaksanaannya tidak hanya fokus kepada sekolah yang didapati bermasalah tetapi meliputi secara menyeluruh,” katanya.

Luqmanul Hakim : Model Tarbiyah Islam

APABILA menyebut soal pendidikan anak-anak secara tidak langsung ia lebih tertumpu kepada tugas dan tanggungjawab ibu bapa. Untuk mendidik anak-anak menjadi insan yang kamil tidaklah semudah yang diperkatakan dalam buku, majalah dan seminar. Ia lebih menekankan soal keinsafan, kesedaran dan sikap tanggungjawab yang mendalam di samping mempunyai aqidah yang kental terhadap Allah SWT. Justeru itu, Allah SWT telah merakamkan beberapa keistimewaan yang dilakukan oleh Luqmanul Hakim sewaktu mendidik anak. Di antara nasihat Lukman kepada anaknya ialah: 1. Hendaklah engkau selalu berada di majlis para ulama' dan dengarlah kata-kata para hukama (orang yang bijaksana), kerana Allah menghidupkan jiwa yang mati dengan hikmat sepertimana menghidupkan bumi yang mati dengan hujan yang lebat. 2. Janganlah engkau jadi lebih lemah daripada seekor ayam jantan, ia telah berkokok pada waktu pagi hari sedangkan engkau pada ketika itu masih terbaring di atas katilmu. 3. Janganlah engkau menangguhkan taubat kepada Allah kerana mati itu akan datang tiba-tiba. 4. Dunia ini bagaikan lautan yang dalam, banyak orang sudah ditenggelamkannya. Oleh itu, jadikanlah taqwa sebagai kapalnya. 5. Pukulan bapa ke atas anaknya bagaikan air menyirami tanaman. 6. Tiga orang yang tidak dapat dikenali melainkan pada tiga keadaan. Orang yang lemah lembut melainkan ketika marah, orang yang berani melainkan ketika berperang dan saudara maramu melainkan ketika engkau berhajat dan memerlukan pertolongan daripadanya. 7. Sesungguhnya dunia ini sedikit sahaja, sedangkan seluruh umurmu lebih sedikit daripada itu. Manakala umurmu yang masih berbakti lagi amat sedikit daripada yang lebih sedikit tadi. AQIDAH Masalah aqidah adalah masalah yang paling penting dalam kehidupan seorang muslim. Ia merupakan asas atau tapak bagi pembangunan Islam. Dewasa ini kita dapati banyak penyelewengan terjadi sama ada dari segi pemikiran, perkataan mahupun tingkah laku. Kesemuanya berpunca daripada tidak memahami aqidah Islam secara mendalam. Firman Allah yang bermaksud: "Dan ingatlah sewaktu Luqman berkata kepada anaknya: "Wahai anak kesayanganku! Janganlah engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain). Sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar."(Surah Luqman: 31). Ayat ini jelas menunjukkan bahawa Luqman memulakan nasihat kepada anaknya supaya tidak melakukan syirik kepada Allah SWT. Jiwa anak yang masih suci itu harus dibersihkan daripada sebarang kerosakan dan kesesatan yang berpunca daripada syirik. Ini bererti pendidikan tauhid mesti diajar dan ditanam ke dalam jiwa anak-anak sejak dari kecil lagi. Kebanyakan ibu bapa hari ini tidak menekankan pelajaran tauhid kepada anak-anak. Bukan sahaja demikian bahkan terdapat juga di kalangan ibu bapa tidak tahu mengenai pelajaran tauhid. Siapakah yang harus dipersalahkan sekiranya anak-anak generasi muda mudah tergelincir keimanannya? Syirik amat mudah berlaku sekiranya di dalam diri seseorang itu tidak ditanamkan dengan aqidah untuk beriman dengan Allah SWT secara kental. Membentuk jiwa anak-anak agar sentiasa mengingati Allah dalam segala gerak geri dan perbuatannya adalah menjadi tugas dan tujuan yang paling utama bagi setiap pendidikan. Hal yang demikian tidak mungkin berlaku kecuali setelah setiap pendidik membiasakan anak-anak mengingati Allah ketika mereka sedang bekerja, berfikir dan mendapat sesuatu. Ibu bapa perlu banyak mendidik anak-anak dengan membiasakan mereka melihat perbuatan yang baik daripada ibu bapa. Sebagai contoh Sahal bin Abdullah menceritakan bahawa: "Ketika aku berumur tiga tahun, aku sudah mulai bangun malam dan memerhatikan bapa saudaraku solat. Tiba-tiba pada suatu hari dia bertanya kepada aku, adakah engkau mengingati Allah yang menjadikan engkau? Lalu aku bertanya, bagaimana cara mengingati-Nya?, kemudian beliau berkata kepada ku, sebutkan dalam hatimu tiga kali ketika hendak tidur tanpa menggerakkan lidah mu (Allah bersamaku, Allah melihatku dan Allah menyaksikanku). Setelah beberapa kali aku melakukan, lalu disuruhkan pula aku menyebutnya tujuh kali pada setiap malam. Selepas itu disuruhnya pula sebelas kali sehingga aku merasakan kemanisan bacaan itu dalam hatiku. Setelah berlalu masa setahun, maka dia berkata kepadaku, "Wahai Sahal! jagalah baik-baik apa yang aku ajarkan engkau itu dan bacalah ia hingga engkau masuk ke dalam kubur." Katanya lagi, "Wahai Sahal! Siapa yang mengetahui dan menyedari yang Allah sentiasa bersamanya, menyaksikannya, apakah boleh dia berbuat maksiat lagi? Jauhkanlah dirimu daripada perbuatan maksiat." Melalui proses latihan yang disebutkan di atas serta pendidikan keimanan yang murni muncullah Sahal menjadi seorang ulama' yang terkenal. SOLAT Firman Allah bermaksud: "Wahai anak kesayanganku! Dirikanlah solat." (Surah Luqman: 17). Islam memberikan keutamaan yang sangat besar kepada solat yang tidak pernah diberikan kepada ibadat lain. Kerana ia adalah tiang agama, sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w bermaksud: "Pokok pangkal sesuatu adalah Islam, tiangnya adalah solat dan kemuncaknya adalah jihad fi sabillillah." Solat yang dikhendaki oleh Islam bukanlah sekadar berkata-kata yang diucapkan oleh lidah dan pergerakan badan. Tetapi solat yang sebenar adalah yang dilakukan dengan penuh perhatian dan tumpuan pemikiran, penuh rasa takut dalam hati serta menzahirkan keagungan dan kebesaran Allah, itulah solat yang diterima oleh Allah SWT. Dari segi kejiwaan, solat memberikan ketenangan dan kekuatan bagi jiwa seseorang. Daripada segi kesihatan, ia mendidik seseorang supaya menjaga kebersihan dan melatih badan agar sentiasa segar dan cergas. Dari segi akhlak pula ia mencegah perbuatan mungkar dan menjaga waktu manakala dan dari segi kemasyarakatan solat mendidik persamaan dan persaudaraan. Berbakti kepada kedua ibu bapa Firman Allah yang bermaksud: "Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya, ibunya mengandungkan dengan menanggung kelemahan demi kelemahan, dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun. "Bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibu bapamu, kepada Ku jua tempatmu kembali." (Surah Luqman: 41) Ibu bapa mempunyai kedudukan yang paling istimewa. Mereka menduduki tempat yang kedua sesudah beriman kepada Allah dan Rasulullah. Oleh kerana itu, tiada seorang pun di atas muka bumi ini yang dapat menyamai kedua dua ibu bapa. Berbakti kepada ibu bapa adalah wajib ke atas setiap anak dalam apa jua keadaan sekalipun ia merupakan asas terpenting dalam pendidikan Islam. Manakala menderhaka kepada kedua ibu bapa adalah berdosa besar. Adalah mudah bagi anak-anak yang sudah biasa terdidik atas sikap berbakti dan menghormati kedua ibu bapa untuk dididik dan diasuh supaya menghormati jiran tetangga, guru-guru dan seterusnya menghormati manusia seluruhnya. SABAR Kesabaran adalah suatu keperluan dalam usaha menegakkan keimanan, melaksanakan amal soleh, memperjuangkan kebenaran dan keadilan. Semuanya bukanlah suatu perkara yang mudah. Oleh itu, ia sangat memerlukan kesabaran. Kesabaran dalam menghadapi hawa nafsu, musuh-musuh luar dan kesusahan lain. Begitu juga kesabaran amat perlu dalam menempuh jalan perjuangan yang amat panjang dan semestinya mengikuti tahap-tahap yang teratur untuk menuju matlamat. JANGAN SOMBONG Sifat takabur adalah lahir daripada perasaan bangga diri yang merasakan dirinya lebih baik daripada orang lain. Biasanya seseorang yang takabur dikuasai oleh sifat-sifat buruk lain seperti taksub, mudah marah, dendam dan hasad dengki. Sebaliknya, Islam menganjurkan tawadduk kerana ia salah satu sifat terpuji yang amat digalakkan oleh Islam. Kalau takabur menjadi punca pertelingkahan dan perbalahan, maka tawaduk adalah pengikat yang menguatkan persaudaraan, mengukuhkan perpaduan serta melahirkan keselamatan dan ketenangan. KESEDERHANAAN Kesederhanaan menggambarkan ketenangan dan kesopanan tingkah laku. Tenang dan sopan santun adalah buah daripada budi pekerti mulia yang sangat dituntut oleh Islam. Begitu juga melembutkan suara ketika bercakap adalah menjadi ukuran pekerti mulia. DAKWAH Adalah menjadi fardhu ain bagi setiap muslim supaya melaksanakan tugas menyuruh kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran. Firman Allah bermaksud: "Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang ma'ruf dan mencegah daripada yang mungkar, merekalah orang-orang yang beruntung," (Surah Ali Imran: 104). Pendidikan Luqman adalah pendidikan yang menyeluruh dan lengkap meliputi asas-asas aqidah, ibadat, akhlak dan dakwah. Oleh sebab itulah Allah telah merakamkan pendidikan Luqman itu untuk dijadikan contoh kepada umat Islam sepanjang zaman.

25.6.06

Khasiat Limau Nipis

Limau nipis bukan buah yang asing bagi kita. Dulu, ketika masih kanak-kanak, kita mungkin biasa minum perahan limau nipis yang dicampur dengan kicap dan sedikit garam untuk menyembuhkan batuk. Memang rasanya masam tapi batuk beransur-ansur sembuh bukan? Atau jika hari panas, air limau nipis sejuk menjadi penawar dahaga. Air limau nipis kononnya dapat mengeimbangkan makanan berlemak. Sebenarnya masih banyak kegunaan buah limau nipis ini, dari menghilangkan sembelit hingga menghindarkan kedut-kedut pada wajah. Limau nipis atau nama botaninya citrus aurantifolia. Kalau di barat dipanggil lime, bangsa Sepanyol mengenali sebagai lima, sementara orang Arab menyebutnya limah. Pohon limau nipis boleh mencapai ketinggian hingga 4 meter, lebih pendek dari 'saudara'nya limau purut. Buahnya berbentuk bulat sebesar bola ping pong dengan kulit luar berwarna hijau, setelah tua menjadi kuning. Seperti buahnya yang kecil, bunganya pun berukuran kecil-kecil berwarna putih. Rasa masam pada limau nipis dan semua jenis limau lainnya, berperanan pembuang toksin terbesar dibandingkan buah-buah lain. Rasa masam dan unsur pectin yang terkandung di dalamnya membantu menghilangkan racun-racun dalam tubuh. Jika ingin melakukan pembuangan toksin, anda boleh minum segelas besar air yang ditambah dengan perahan limau nipis setiap pagi kemudian diikuti dengan segelas besar air putih setiap jam berikutnya. Jika tidak tahan dengan rasa masamnya, limau nipis boleh digantikan dengan limau biasa. Kadang-kadang proses pembuangan toksin diikuti dengan keluarnya gejala seperti kulit kering atau sakit kepala. Gejala ini berjalan seiring dengan keluarnya racun dari tubuh dan keadaan ini adalah wajar. Namun jika tidak yakin, anda mesti mendapatkan nasihat doktor. Selain itu, disarankan agar tidak memakan limau nipis untuk membuang toksin ketika tubuh tidak sihat kerana keadaan ini boleh memburukkan lagi kesihatan anda. Tingkat daya tahan tubuh . Menurut buku Food That Harm Food That Heal, meminum air limau ini sebiji sehari, akan meningkatkan daya tahan tubuh dari serangan virus. Vitamin C yang tinggi dari buah ini akan menyediakan antioksidan untuk menjinakkan radikal bebas dalam tubuh. Sementara sejumlah mineral, potasium di alamnya bermanfaat untuk membantu mengatur tekanan darah dan fungsi jantung, serta vital untuk memelihara kelenturan otot dan memperlancar sistem saraf. Selagi tidak disebabkan oleh jangkitan di tekak atau jangkitan paru yang parah, limau nipis berkesan untuk menghilangkan batuk. Ini kerana beberapa kandungan mineral yang penting pada limau nipis seperti kalsium, pospor, potasium dan besi. Seperti diketahui, besi adalah suatu antioksidan. Potasium menyeimbangkan tekanan darah menguatkan fungsi jantung. Ada pun pospor memperbaiki metabolisme tubuh. Kombinasi vitamin C dan beberapa mineral tersebut sudah tentu berkesan untuk mengatasi gangguan ringan pada tubuh, seperti masuk angin, yang menyebabkan batuk. Secara tradisional, penggunaan limau nipis sebagai ubat batuk adalah cukup dengan membelah sebiji limau nipis dan dituangkan dengan sedikit kicap di atas hirisan limau tersebut, lalu diperah ke dalam mulut. Penggunaan kicap itu sendiri tidak jelas tujuannya. Mungkin kicap digunakan untuk mengseimbangkan rasa masam yang sangat kuat dari limau nipis. Kicap dipilih kerana rasa manis yang ditimbulkan juga tidak setajam rasa manis pada gula yang boleh merangsang munculnya batuk. Kombinasi semacam ini umum dijumpai pada ubat-ubat dijual di kedai-kedai ubat Cina. Demam Petiklah 2-4 genggam daun limau nipis. Rebus dengan 2 hingga 4 gelas air. Gunakan air rebusan ini untuk menuam pesakit yang demam. Caranya dengan membasuh kain pada air rebusan dan diperas, lalu ditempelkan pada dahi pesakit. Batuk Ambil air limau nipis satu sudu teh. Campur dengan kicap manis. Minumlah tiga kali sehari. Cara lain untuk mengubati batuk ialah dengan memanggang limau nipis sebentar di atas api. Biarkan sebentar hingga menjadi suam-suam kuku, belah buah limau nipis tersebut, lalu langsung perah ke dalam mulut hingga mengalir ke tekak. Resipi ini baik juga untuk menyembuhkan Selesema Menghentikan kebiasaan merokok.. Hisaplah sehiris limau nipis. Rasanya yang masam segar membuat anda terangsang untuk minum air putih. Lakukan beberapa kali sehari. Cara ini selain mengurangi keinginan untuk merokok, juga membantu membersihkan nikotin yang sudah terdapat pada gigi dan mulut. Bau ketiak yang tak sedap Siapkan limau nipis yang dicampur kapur sirih. Setelah mandi, sapukan campuran ini pada ketiak dan biarkan beberapa waktu sebelum dibasuh. Lakukan pagi dan petang.

17.6.06

Tips Meningkatkan Daya Ingatan

Anda merasakan anda sudah tua kerana sikap anda yg pelupa? Anda asyik lupa di mana kali akhir anda meletakkan sesuatu? Orang di sekeliling selalu marahkan anda kerana lupa tarikh penting, lupa letak barang, lupa makan ubat, lupa fakta, lupa tutup kipas, lupa arah jalan, lupa nama orang dan macam-macam lagi. Sebenarnya, kita dapat meningkat daya ingatan atau mengurangkan risiko menjadi pelupa dengan mengamalkan tips-tips di bawah secara berterusan. Lebih baik jika kita mempraktikkan ketika usia masih muda supaya kelak di hari tua kita tidak menjadi terlalu pelupa. Antaranya ialah: Membaca Al-Quran Sekiranya anda seorang Muslim, amalkan membaca Al-Quran walau sehelai muka surat setiap hari. Membaca Al-Quran dapat menerang jiwa, menenangkan perasaan dan menajamkan daya ingatan dengan lebih baik. Amalkan Tidur Yang Cukup 1/3 hidup kita dihabiskan dengan tidur. Namun ada orang yg suka tidur lewat atau mengabaikan tidur yg cukup. Badan perlu rehat. Keletihan hanya akan mengganggu maklumat/data yang telah disimpan oleh otak dan juga menjejaskan kemampuan untuk mempelajari sesuatu yg baru. Oleh itu, amalkan tidur yg cukup di malam hari kerana ia dapat membantu daya ingatan kita berfungsi. Mengawal Tekanan Tekanan hanya akan membuat jiwa anda tidak tenteram dan menyebabkan kesihatan anda terganggu. Anda juga lebih cenderung untuk menjadi seseorang yang tidak peka dengan keadaan persekitaran. Anda tidak dapat berfikir dengan jelas dan daya ingatan anda juga terjejas. Oleh itu, kawal tekanan anda dengan baik seperti bermeditasi, membaca Al-Quran, yoga, sauna, aromaterapi dan sebagainya. Berhati-hati dengan Pengambilan Vitamin atau Makanan Tambahan Sesetengah produk yang dijual di kaunter atau farmasi tidak sesuai dengan kita. Ada yg kononnya dapat meningkatkan daya ingatan. Tetapi sebaliknya ada yg memberi kesan sampingan. Oleh itu, lebih baik jika kita mendapatkan vitamin yg diperlukan oleh tubuh badan kita dengan pemakanan yg seimbang atau rujuk dahulu doktor yg bertauliah sebelum membeli makanan tambahan. Bersenam Bersenam dapat menggerakkan otot-otot dan melancarkan peredaran darah ke otak.Oleh itu, daya ingatan kita juga akan menjadi lebih baik.Amalkan senaman walaupun sekadar berjalan kaki. Elakkan Kemurungan Kemurungan dalam hidup akan menyebabkan hidup anda tidak ceria. Anda sentiasa berada dalam keadaan tidak segar dan rasa kecewa. Lama-kelamaan ia turut menjejaskan daya ingatan anda dan membuat anda tidak hirau dengan persekitaran anda. Ubatilah kemurungan sebelum menjadi serius dengan berjumpa psikiatri atau beramal-ibadah mendekatkan diri kepada Tuhan. Awasi Pengambilan Ubat Daya ingat mungkin menjadi lemah dengan pengambilan ubat-ubatan tertentu seperti pil hormon, ubat darah tinggi, anti-kemurungan dan sebagainya. Jika anda menghadapi masalah daya ingatan disebabkan pengambilan ubat, konsultasi dengan doktor. Jangan mengambil ubat tanpa arahan doktor. Belajar Sesuatu yang Baru Cubalah aktifkan pemikiran anda dengan mempelajari sesuatu yang baru misalnya Bahasa Jepun, kursus kemahiran jangka pendek, menjahit, atau menghadiri ceramah dan motivasi. Permainan Bermain sesuatu permainan seperti board games dapat merangsang minda. Contohnya, catur, scrabble (Sahibba) dan Monopoli. Selain itu, teknologi sekarang lebih baik seperti permainan komputer dan Playstation. Pilihlah jenis permainan yang mencabar minda. Banyak Membaca Jadikan amalan membaca sebagai kegiatan harian. Membaca dapat meluaskan pengetahuan, mengembangkan minda dan menajam daya ingatan. Cuba ingat sedikit-sebanyak fakta yang terkandung di dalam bahan bacaan. Katakan Berulang Kali Untuk meningkat ingatan anda tentang sesuatu maklumat atau tarikh, katakan dengan kuat dan berulang kali sehingga anda benar-benar ingat akan maklumat tersebut. Fokus Daya ingatan dapat dilancarkan sekiranya anda sering fokus dalam sesuatu, contohnya matlamat hidup. Anda juga dapat belajar fokus dengan menumpukan fikiran anda pada sesuatu perkara dan mencatatkan apa yang anda fikirkan. Bermain Dengan Angka Asahkan minda anda dengan cuba bermain dengan angka seperti mengingati nombor telefon rakan-rakan. Selain itu, anda boleh menghubungkaitkan angka-angka tersebut dengan sesuatu bagi meningkatkan daya ingatan.

16.6.06

Cerpen Menarik Berjiwa Islam

Saya terbaca cerpen ini yang tidak diketahui penulisnya tetapi sangat menarik. Dunia Islam Digosok-gosok lagi matanya. Dia seakan-akan tidak percaya apa yang dilihatnya. Apakah aku kembali ke zaman unta, ke zaman kolot dan purba? Begitulah detik hatinya. Dikesat hidungnya yang berair dengan kertas tisu. Kertas itu kemudiannya dicampakkannya ke tepi jalan. "Assalamualaikum, pakcik.. tolong kutip kertas itu. Nanti pakcik rugi di Akhirat. Kebersihan itu separuh daripada iman." Bunyi satu suara di belakangnya. Ia bingkas berpaling. Siapa berani menegurku? Aku Datuk Dr.Johar, orang besar negara ini. "Pakcik, biarlah saya tolong kutip,sebelum Penguatkuasa Iman dan Islam datang.Nanti didendanya pakcik," kata budak kecil berpakaian putih dengan serban yang melilit kepalanya. Datuk Dr. Johar membetulkan tali lehernya. Ah, kalau dia datang biar aku sogok dengan duit ini. Siapa yang tak kelabu tengok duit merah, biru berlapis-lapis. Namun, Datuk Dr. Johar terus hairan. Bangunan pencakar langit dengan wajah pembangunan yang sofistikated. Ada helikopter bersimpang -siur bergerak di udara. Railbus bercerakah ke sana sini. Bullet train meluncur bagaikan panah dilepaskan dari busurnya.Kesibukan yang layak dipikul oleh manusia-manusia moden. Namun peliknya, pakaian mereka, tingkah-laku mereka...Ah, di mana aku sekarang ini, gerutu hati Datuk Dr.Johar. "Hoi budak, Aku di mana sekarang ?" soalnya kepada budak yang menegurnya tadi. Budak itu tersenyum. Mukanya cerah dan indah. Tenang dan bersuara lunak. Apakah ini Aladin, budak Arab dengan lampu ajaibnya: teka-teki itu terus menerjah kepala dan kotak fikir Datuk Dr. Johar. Budak itu membuka mulut hendak menjawab. Belum sempat,tiba-tiba datang sebuah kereta jenis Ferrari, merah dan bercahaya. Keluar dua orang lelaki dengan pakaian yang hebat dan segak. Serban mereka berwarna hitam berjalur biru. "Assalamualaikum....Maaf, pakcik. Kami terpaksa mendenda pakcik. Kesalahan membuang sampah ini sudah belasan tahun tidak berlaku di Darul Taqwa ini. Kami terpaksa mendenda pakcik. Kebersihan itu lambang iman. Negara ini menitikberatkan iman.... Pakcik didenda, 30 kali subhanallah, 30 kali astaghfirullah dan selawat 100 kali." Kata pegawai penguatkuasa itu dengan lembut. Datuk Dr. Johar tersentak.Apa namanya undang-undang ini. Tak ada dewan bandaraya di seluruh pelusuk dunia mengamalkannya. Dia tercengang-cengang. Namun egonya membumbung tinggi. Apa ? Dia nak marahkan aku ? " Ni duit lima ratus. Saya tak mahu buat apa yang kamu minta. Kita selesaikan di sini saja. Berapa gaji yang kamu dapat sebulan ? " tanyanya angkuh. "Pakcik, kita bekerja kerana Allah, bukan kerana gaji. Lagipun duit bukan ada harga lagi di zaman ini. Semuanya dipandang sebagai alat, bukan matlamat," kata pegawai berjanggut dan berjambang itu dengan tenang. "Oh, oh .... maafkan kami, pakcik. Kami nak tanya sikit, kenapa pakcik pakai pakaian zaman dulu?Mana pakcik dapat pakaian macam itu ?" Tanya pegawai itu pula. Aku yang gila, atau dia yang gila? Detak hati Datuk Dr. Johar. Dia berjalan ke arah kereta Ferrari yang berkilat itu. Melalui cerminnya dia nampak perawakannya dengan jelas. Tak ada yang salah. Tali leher, kemeja dan kotnya masih kemas dan segak. Daripada jenama yang mahal pula -Pierre Cardin. Kasutnya hitam berkilat daripada jenis Bally. Ah! Aku masih unggul. Lelaki tampan, lambang status dan kejayaan. Dia yang kolot, dia yang ketinggalan zaman. "Anak muda, pakaian pakcik ni pakaian pemimpin. Pakcik orang besar di negara ini. Pakcik dah keliling dunia dengan pakaian ni. " "Pakcik, itu pakaian puluhan tahun yang lampau. Ketika Islam belum berdaulat di Darul Taqwa ni. Moyang-moyang kami dulu saja yang pertahankan pakaian macam itu. Itu pakaian orang kuno di Barat. Sekarang, kami hanya dapat lihat gambar-gambarnya saja. Itupun dalam buku sejarah zaman peralihan Islam. Orang Barat zaman moden ini dah berpakaian macam yang kami pakai. Tak ada orang yang pakai macam tu kecuali orang-orang bukan Islam yang dijamin kebebasannya dalam sebuah negara Islam seperti Darul Taqwa." Datuk Dr. Johar termanggu-manggu kebingungan. "Dimana aku sebenarnya ni?" Dia bertanya lagi kepada pegawai penguatkuasa dan budak kecil di tepi jalan. Dia masih kenal, Ini Jalan Chow Kit di tengah bandar Kuala Lumpur. Masih ada Masjid Pakistan dan Masjid Kampung Baru di sebelah sana. Tetapi itu sahaja, yang lain tak ada. "Pakcik di bandar Mutmainnah. Ini jalan Mujahadah,namanya. Saya Haji Din,Pegawai Penguatkuasa Iman dan Islam. Diberi amanah untuk memastikan kebersihan lahir batin bandar ini." Apa? Bandaraya Kuala Lumpur dah jadi Bandaraya Mutmainnah? Jalan Chow Kit dah jadi jalan Mujahadah? Apa dia mutmainnah? Apa dia mujahadah tu? Apa yang terjadi ni? Soalan-soalan itu terus menyerang benak Datuk Dr.Johar. "Pakcik, kami rayu pakcik membayar denda tadi. Kalau tak boleh sekarang, lepas sembahyang nanti pakcik laksanakanlah. Demi kebaikan pakcik dunia dan Akhirat..." Tiba-tiba terdengar suara orang memberi salam dari jauh. Nyaring danjelas. Seorang lelaki pertengahan umur berlari kepada seorang pegawai penguatkuasa. "Tuan, hukumlah saya. Saya mengumpat tadi. Ya Allah ! seksa Nerakaamat pedih..Tolonglah, tuan. Hukum saya di dunia sebelum saya dihukum di Akhirat!" rayu lelaki itu. Pegawai tadi berpaling ke arah lelaki yang baru datang, dan kesempatan itu diambil oleh Datuk Dr. Johar. Ia lari sekuat-kuat hati.Peliknya mereka tidak mengejarnya. Ia terlepas ....Lega. Dahaga, lapar mula menggigit tekak dan perutnya. Dia mesti makan.Dia perlu minum.Tapi di mana? Tiba-tiba ia terdengar suara komputer dari sound system di tepi-tepi jalan : "Assalamualaikum, kepada seluruh penduduk Kota Mutmainnah. Syed AlAbrar, hartawan besar berada di Jalan Uwais Al Qarni. Dia merayu fakir miskin supaya sudi menerima sedekahnya. Hari ini ia menjamu nasi dan minuman.Sila datang!" Datuk Dr. Johar orang besar DarulGhurur itu tidak akan mencemar duli menagih nasi. Dia ada duit, mampu membelinya sendiri. Dia pun masuk ke sebuah restoran di tepi jalan. Di situ penuh dengan pelanggan. Semuanya berserban dan berjubah.Matanya tak betah lagi melihat semua itu.Tapi kerana lapar ia masuk juga. "Maaf tuan, itu pintu masuk untuk wanita. Di siniuntuk lelaki." "Ceh! Diskriminasi, doubel-standard, lelaki dipisahkan daripada perempuan."Mukanya dicemekkan kepada tuan kedai yang menegurnya. "Ada restoran lain yang mengamalkan persamaan taraf antara lelaki dan perempuan? Saya tak suka pemisahan-pemisahan macam ni!". Lelaki itu tersenyum."Empat puluh tahun yang lalu adalah. Sekarang ni kita sudah bebas dan merdeka. Zaman penjajahan fikiran dan jiwa sudah berlalu. Tak ada diskriminasi wanita di sini, tuan. Amir Muhammad, pemimpin Darul Taqwa telah menaikkan taraf wanita tanpa Women's Libs.Kalau tuan ada isteri dan membawanya bersama, sila masuk ke sana. Di sana ada tempat khusus untuk makan bersama isteri dan anak perempuan,"terangnya. Mukanya jernih. Serban dan jubahnya serba putih. "Ini bertentangan dengan prinsip demokrasi. Sistem pemerintahan kapitalis, sosialis, nasionalis malah komunis sekalipun tak macam ni..." "Masya-Allah pakcik, jangan disebut lagi nama-nama ideologi tu. Semuanya telah termaktub sebagai ajaran-ajaran sesat dalam perlembagaan Darul Taqwa ini. Tak ada orang lagi yang berpegang dengan fahaman jahiliyyah tu... Subhanallah...."Keluh tuan restoran itu sambil mengurut-ngurut dadanya. Ekor serbannya bergoyang-goyang ketika ia manggeleng -gelengkan kepalanya. Ah! Persetankan semua itu. Perut aku lapar. Datuk Dr. Johar pun duduk. "Nasi beriani sepinggan!"ujarnya kepada pelayan. "Dalam pinggan, tuan?" tanya pelayan itu kehairanan. "Ya ! Apa peliknya?", "Baik,tuan. Tapi semua orang berebut-rebut pahala makan berjamaah. Tuan makan seorang ?"tanya pelayan berkulit hitam itu. Dia tambah geram. Direnung ke hadapan, iaitu keempat orangenikmati makanan. Tidak ada meja makan hanya hamparan permaidani tebal dengan dulang-dulang indah yang tersusun rapi. Mereka makan satu dulang. Yek! Jijiknya. Ah! Aku tetap aku. Aku ada pendirian! Nasi beriani dengan ayam goreng kegemarannya terhidang di atas kain putih khas. "Jemput makan dengan nama Allah yang memberiezeki," kata pelayan itu dengan sopan. Datuk Dr.Johar makan dengan seleranya. Dewan makan itu berhawa dingin lengkap dengan alat TV dan pita videonya sekali. Dia makan seorang diri bagai kera sumbang. " Ya Allah,apa musibah yang menimpa ana Subuh tadi. Ana masbuk dalam sembahyang jemaah Subuh, "ujar seorang lelaki muda dengan wajah yang kecewa. Suapnya perlahan. Macam tak lalu makan saja. "Anta tak cuba tampung dengan amal makrufat yang lain ?"tanya sahabatnya di sebelah.Dia nampak simpati. Datuk Dr. Johar pasang telinga saja. "Ana nak sedekahkan lima ribu ringgit ....malang nasib ana. Ana tunggu lima jam di tepi jalan tadi, seorang pun tak mahu terima sedekah ana " Keluhnya."Susah kita sekarang. Orang miskin yang bolot pahala redha, pahala sabar. Mereka patutnya bantulah kita. Tolonglah terima sedekah kita. Ah, susahnya jadi orang kaya macam kita ini. Dahlah nanti di Akhirat banyak hisabnya, Di dunia orang tak sudi pula terima sedekah kita, keluh seorang yang sama-sama makan dengan lelaki muda tadi."Kalaulah kita hidup zaman moyang kita dulu, kan dapat kita korbankan harta yang banyak ini. Saya pun dapat harta ni melalui warisan daripada bapa, yang diwarisi oleh datuk saya daripada moyangnya. Kita tunggulah bila kerajaan nak bangunkan projek negara atau nak gunakan duit untuk kemaskinikan kementerian-kementeriannya.... saya nak labur habis-habisan. Biar jadi saham Akhirat," kata pemuda itu menutup perbualan. Mereka pun makan dengan perlahan -lahan. Datuk Dr.Johar makin pelik. "Tambah nasi sepinggan lagi!"ujarnya kepada pelayan restoran. "Demi kesihatan tuan, saya nasihatkan....berhentilah sebelum kenyang. Maaf tuan saya terpaksa mengatakan demikian. Saya pelayan kedai merangkap pegawai perubatan ....," kata pelayan itu lagi. "Apa? Awak pegawai perubatan? Seorang doktor ke? Kelulusan luar negeri atau dalam negeri? Awak sepatutnya bertugas di hospital, bukan di restoran!" bentaknya. Marah campur geram. "Tuan, mana ada hospital sekarang.Yang ada khususuntuk bayi, kanak-kanak dan wanita, juga para mubaligh dan mujahid yang cedera ketika berjuang. Tuan, kalau tuan amalkan makan hanya bila lapar dan berhenti sebelum kenyang, tuan akan sihat, insya-Allah. Kita tak perlu hospital! "Bodoh, kalau macam tu, macam mana nak rawat pesakit kencing manis macam aku ini ?" leternya perlahan-lahan. "Penyakit kencing manis? Tuan menghidapnya? Saya ada baca buku perubatan edisi tahun 1990 dulu. Sekarang penyakit tu dah tak ada siapa menghidapnya....." "Batalkan saja oder saya tadi, banyak sangat cakap, boring. Saya perlu hiburan sekarang ...Di mana boleh saya dapati ?" tanyanya. "Di sana,tuan. Melalui butang pada sistem komputer di sebelah sana, tuan boleh dapat apa saja hiburan yang menyegarkan. Tak payah risau pasal bil. Percuma. Datuk Dr. Johar, orang besar negara, melangkah hebat ke tempat yang ditunjukkan. Berbagai -bagai butang dengan bermacam warna berkelip-kelip. Sangat rumit tapi kekeliruan itu dapat disembunyikannya. Dia malu kalau-kalau dengan pakaian jenama Pierre Cardinnya ia masih kelihatan kolot.. Entah di mana falsafah moden Datuk Dr. Johar. Pada pakaiannyakah atau otaknya? Diberanikan hatinya; satu butang warna hitam ditekan. Dalam skrin timbul tajuk besar- KHAUF. Apa bendanya ni? Kemudian menyusul nama-nama lagu: MATI ITU TERLALU SAKIT, ALAM BARZAKH YANG PASTI, MIZAN NOKTAH PENYESALAN, IZRAEL DATANG TIBA-TIBA Oh...Oh ... seram sejuk tubuhnya. Apa nama lagu macam ini? Biarlah menaruh harapan sikit. Hatiku macam kristal, boleh pecah dengan lagu-lagu macam tu. aku belum nak mati lagi, protes hati Datuk Dr.Johar. Dia beralih ke butang hijau tanpa lengah terus menekannya. Tertera di atas skrin komputer: 'RAJA'. Kemudian tersembul tajuk-tajuk lagu. Dibacanya dengan teliti... FIRDAUSI MELAMBAIMU, DEMI CINTA DAN RAHMAT-NYA, KEINDAHAN JANNAH YANG ABADI..Kepala datuk Dr. Johar makin pusing. Semuanya tentang Akhirat. Apa nak jadi ni? "Tak ada lagu yang hot sikit ke?" tanyanya kepada seorang anak muda berjubah coklat di sebelahnya. "Nanti ya pakcik. Saya pilihkan lagu yang paling hot sekarang ni.T op-hit anak-anak muda sekarang..." "Ya, ya saya setuju," balas Datuk Dr. Johar. Telinganya dihalakan kepada sistem suara di dinding restoran itu. Dia ingin dengar lagu-lagu kegemaran muda-mudi daerah asing itu. Ayat suci Al-Quran a... "Eh ...ni suara orang mengaji," "Nanti dulu pakcik, selepas ni ada terjemahannya kemudian baru menyusul lagunya," kata pemuda berjubah cokat itu sambil matanya di tutup rapat-rapat. Asyik sekali dia. Kemudian getaran suara bergema.... Cintaku berlabuh di persada rahmat-Mumendamba kasih yang tidak berhujungmengutip sayang di hamparan cinta suci.Inilah getaran hatiku memburu cinta.......stanza hati merindu Ilahi!"Datuk Dr. Johar tak tahan lagi. Ia merengus dan pergi ke kaunter bayaran. "Maaf tuan, duit ini duit lama. Kalau tuan tak mampu bayar kami halalkan sajalah ..." Datuk Dr. Johar makin geram. Dia menderam dan berkata " Saya bayar dengan kad kredit saja!" Dia hulurkan kad kredit warna keemasannya. "Maaf sekali lagi, tuan. Kad kredit ini bukan yangboleh kami terima, kami halalkan sajalah." "Tak, pantang saya minta sedekah. Saya ada harta simpanan berbungkal-nungkal emas di bank. Takkan saya nak bawa, nanti disambar pencuri." " Darul Taqwa tak ada pencuri, tuan. Pencuri terakhir telah dipotong tangannya 30 tahun yang lalu ketika minta dihukum di hadapan hakim kerana takutkan seksa Neraka." "Ah, aku tak nak dengar semuanya. makin gila aku dibuatnya," pekik Datuk Dr. Johar lantas meluru keluar dari restoran itu. Di luar,semua pandangan menyakitkan hati. Mengapa orang kolot ini mentadbir teknologi begini tinggi. Pemandu bullet train berserban merah tersenyum kepadanya. Pilot helikopter dengan tulisan 'MAKRUFAT AIRTRANSPORT' sibuk dengan urusannya. Di seberang jalan tertegak papan iklan dengan tulisan yang jelas :" KELUARGA BAHAGIA GEMBIRA DENGAN SUNNAH ". Di papan itu terpampang gambar seorang lelaki dan perempuan berserta anak-anak meraka. Semuanya berserban, berjubah dan berpurdah. Isy, meluatnya! Di jalan-jalan raya suasana meriah dengan salam dan senyum. Baginya,semua itu seolah-olah menyindir dan mengejek. Kenapa jadi begini? Kenapa? Kenapa? Kenapa? Mengapa? Mengapa? Mengapa? Datuk Dr. Johar tiba-tiba menjerit. Tekanan dalam jiwanya yang kian tersumbat itu tiba-tiba meletus. "Datuk..!Datuk..! Bangun, Datuk. Ada berita buruk !" Datuk Dr.Johar bangun. Ia tertidur sewaktu menunggu keputusan pilihanraya hari itu. "Kenapa? Parti kita kalah? Aku kalah? "tanya Datuk Dr.Johar. "Tidak, Tuk. Rakyat bangun memprotes. Mereka tak mahu demokrasi.Mereka tak mahu pilihanraya..." "Habis, mereka mahu apa?" "Mereka mahu Islam, Datuk!" "Islam ? " keluh Datuk Dr. Johar. Digosok-gosok lagi matanya. "ISLAM KAN TETAP DIJULANG WALAUPUN IA DITENTANG..ITULAH JANJI ILAHI

Khasiat Buah Betik

Anda suka memakan buah betik? Tahukah anda buah yang amat mudah ditemui di negara-negara tropika ini ternyata mengandungi khasiat yang ajaib, terutama untuk perempuan. Selain mengandungi vitamin C yang amat besar, dua kali ganda dari kandungan buah limau, papaya juga boleh menjadi pendinding daripada serangan penyakit yang mendera kandung hempedu. Hal tersebut ditemukan dalam kajian pakar pemakanan dari University of California, San Francisco terhadap lebih dari 13 ribu orang, baru-baru ini. Setelah menganalisis kadar darah para sukarelawan, para pengkaji menemukan bahawa mereka yang kadar vitamin C nya rendah, ternyata risiko menderita penyakit kandung hempedu adalah tinggi. Walaupun sumber vitamin C boleh diperoleh dari pelbagai jenis buah dan sayuran, tetapi sebiji buah papaya dalam ukuran sederhana (+/- 280 gram) mengandungi 188 mg vitamin C dan 500 kj kalori. Ini adalah jumlah yang amat besar. Memandangkan penyakit kandung hempedu lebih banyak menyerang perempuan berbanding lelaki, jadi memakan buah ini amat baik diamalkan oleh perempuan. Bagi keluarga yang memiliki halaman yang agak luas adalah lebih baik menanam sendiri tumbuhan ini. Sambil berbakti kepada tanah kita dapat mengekalkan kesihatan diri dan keluarga.